Kewajaran OKU Diberi Peluang Yang Sama Untuk Hidup

 

Orang Kelainan Upaya (OKU) harus diberi peluang untuk berjaya.

Bincangkan pendapat anda tentang kewajaran OKU diberi peluang yang sama untuk hidup.

Di suatu lorong deretan kedai kelihatan seseorang yang sangat daif dengan pakaian tidak terurus sedang menadah tangan memohon simpati orang yang lalu lalang. Dalam situasi yang lain pula kelihatan seseorang yang tidak cukup anggota memohon simpati orang yang sedang lalu lalang untuk membantunya menolak kerusi roda. Malahan di asrama-asrama yang daif mereka ini terpaksa tinggal berasak-asak. Demikianlah gambaran mudah tentang senario Orang Kelainan Upaya (OKU) di Malaysia. Bagi rakyat Malaysia golongan OKU bukanlah suatu isu yang mendesak di negara ini. Lebih banyak isu yang harus diberi perhatian seperti isu politik, ekonomi dan isu gejala sosial yang tidak pernah kunjung selesai. Demikianlah nasib OKU yang sehingga ke hari ini masih dalam keadaan dilema, terbiar, dan menghadapi masa depan yang penuh hambar. Sesungguhnya sebagai insan, OKU juga mempunyai hati dan perasaan yang menuntut mereka diberi peluang untuk meneruskan hidup.

Takrif OKU ialah insan yang kurang bernasib baik kerana mengalami kecacatan kekal sama ada dalam bentuk kecacatan fizikal atau mental. Kecacatan fizikal seperti buta, pekak, cacat anggota, manakala cacat mental seperti ‘sindrom down’ dan tergencat akal. Mereka terpaksa mengharung suatu perjalanan sukar untuk hidup sempurna seperti golongan normal dek kecacatan yang dialami. Mereka mengalami perasaan rendah diri, tersisih daripada arus perdana masyarakat, dan sukar menghadapi kehidupan hari-hari mendatang tanpa sokongan ahli keluarga terdekat. Pada hari ini jumlah OKU di negara ini dalam semua kategori telah meningkat sehingga 4000 orang. Hal yang demikian, menunjukkan golongan tersebut tidak boleh dibiarkan meneruskan kehidupan dalam kedaifan. Mereka sepatutnya diberikan peluang untuk meneruskan hidup atas kudrat yang ada pada mereka atau dengan perkataan lain mereka harus berdikari.

Anggapan lapuk masyarakat bahawa OKU tidak mampu menguruskan kehidupan mereka sendiri hendaklah dikikis daripada minda masyarakat. Pada hari ini, atas kudrat dan motivasi yang tinggi, golongan tersebut telah berjaya malah ada yang menjadi golongan profesional. Kemampuan personaliti seperti Allahyarham Dato Dr Ismail Ibrahim menjadi penasihat kepada beberapa syarikat korporat dan menjadi motivator kepada beberapa firma membuktikan golongan tersebut boleh hidup sendiri dan membina kerjaya yang baik. Walau bagaimanapun, di sebalik beberapa individu yang sudah berjaya itu, masih banyak OKU yang terbiar dan terpaksa bertarung dengan segala kepayahan untuk meneruskan hidup. Mereka bukan sahaja tidak mendapat pembelaan daripada masyarakat dan agensi tertentu yang ditugaskan, malah mereka tersisih juga daripada keluarga dan saudara mara sendiri.

OKU bukan tidak berkemampuan. Malahan mereka lebih berkemampuan mengatasi orang-orang yang normal. Mereka berjaya menjadi pengusaha kraf seperti barangan rotan, buluh, kulit, dan kemahiran tangan. Malang sekali semua usaha untuk mendaki kejayaan tersebut adalah atas kudrat untuk ikhtiar hidup yang dilakukan secara bersendirian. Dalam usaha membela nasib golongan yang lemah tersebut amat sedikit bantuan yang diberikan sama ada oleh orang perseorangan mahupun agensi-agensi tertentu. Sekiranya orang normal pun memerlukan latihan yang intensif sebelum mereka boleh memberikan sumbangan, sudah tentu golongan OKU perlu diberikan perhatian yang lebih serius lagi. Malahan OKU  perlu menerima latihan dan bimbingan yang lebih terancang memandangkan mereka terpaksa berhadapan dengan risiko hidup yang lebih berat jikalau dibandingkan dengan golongan normal.

Pada asasnya, OKU telah dikurniakan dengan keistimewaan tertentu. Allah yang maha berkuasa mentakdirkan mereka demikian, namun dalam situasi yang terselindung mereka memiliki sesuatu yang cukup istimewa. Bayangkanlah betapa kuatnya daya ingatan orang-orang buta yang mampu menghafal berjuzuk-juzuk ayat al-Quran dan demikian pula betapa mahirnya golongan cacat pendengaran melakukan kerja-kerja grafik seperti melukis, pertukangan tangan, dan melakukan literasi komputer. Kecacatan yang dialami bukan menjadi penghalang untuk mereka maju dalam semua perkara. Sebaliknya kecacatan tersebut memberi dorongan kepada mereka untuk lebih fokus dalam aspek-aspek yang tertentu pula.

Sikap masyarakat yang memandang lekeh terhadap OKU harus dikikis. Sikap jahil seperti itulah yang menjadi penghalang kita mengambil pendekatan berhemah untuk menyediakan kemudahan prasarana kepada OKU. Sehingga ke hari ini tiada sebuah institusi pun yang benar-benar memiliki kemudahan latihan yang mesra OKU. Jikalau adapun sekadar menumpang kemudahan sedia ada yang digunakan oleh golongan normal. Dalam bidang kemahiran dan profesional, semua IPT di negara ini tidak memiliki prasarana khusus untuk OKU. Bagi golongan pekak pula tiada suatu pun IPT dan institusi kemahiran yang menyediakan perantara khas bahasa isyarat untuk mereka. Walaupun Politeknik Johor Baharu telah dipilih sebagai institusi kemahiran untuk melatih OKU dalam kategori pekak, namun hingga ke hari ini IPT tersebut belum memiliki penterjemah bahasa isyarat yang profesional.

Bagi membolehkan golongan tersebut tidak terus bergantung pada orang lain untuk meneruskan kehidupan, usaha bersepadu haruslah dijalankan segera untuk membantu mereka. Pihak berwajib terutama Kementerian Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat hendaklah mengambil inisiatif menyediakan kertas cadangan untuk dibawa ke kabinet sebagai usaha mewujudkan suatu program khas bersepadu untuk golongan tersebut. Sudah tiba masanya, golongan tersebut sudah memiliki sebuah institut khusus yang menyediakan pelbagai latihan kemahiran dan profesional untuk mereka. Dengan wujudnya institusi seumpamanya baharulah golongan tersebut tidak perlu bersusah payah menumpang di institusi lain yang tidak mesra OKU.

Sesungguhnya, tiada seorang pun insan yang mahu dirinya dipinggiri. Mereka mahu hidup bebas dan berdikari. Sebaliknya, takdir yang menentukan, justeru tiada sesiapa yang boleh menentang takdir. Sungguhpun begitu, kita tidak boleh menidakkan ikhtiar untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik seperti mereka. Seandainya terus dibiarkan, mereka pasti menimbulkan pelbagai beban dan kesulitan kepada kita.

……………………………………………………………………….

This entry was posted in Karangan. Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s